Saturday, 21 September 2013

7.Mayat Menjadi Berat Tetiba

Download ke Mobile Mayat Menjadi Berat Tetiba pdf


Madrasah Tok Aji dibina di depan rumahnya saja. Ramai penuntut-penuntut yang datang belajar di situ. Ada yang datang dari Johor, ada yang datang dari Pahang, ada yang dari Selangor dan ada yang datang dari Negeri Sembilan. Saya ikut sama belajar di madrasah Tok Aji, kerana ayah saya lebih suka saya memulakan pelajaran pondok. Itu pun dihantar pada sebelah petang saja, kerana paginya ayah mahu saya belajar di sekolah Melayu atau sekarang ini di sekolah rendah.

Kegiatan saya masa di madrasah Tok Aji ini memang cergas. Saya pernah memenangi pertandingan syarahan seluruh daerah bagi murid-murid sekolah agama termasuk sekolah pondok. Ustaz Noor yang membimbing saya hingga menjadi johan syarahan itu sangat gembira.

Tetapi yang hendak saya ceritakan di sini bukanlah pengalaman ketika saya mengaji di madrasah Tok Aji. Saya tertarik dengan beberapa cerita Tok Aji mengenai kisah masa remajanya ketika di Sumatera lagi.

Seperti saya telah jelaskan, Tok Aji adalah berasal dari Sumatera. Kemudian merantau ke Tanah Melayu ketika umurnya sudah meningkat dua puluhan. Sebelum datang ke kampung di daerah saya dan bernikah dengan nenek saya iaitu emak ayah saya, Tok Aji sudah menikah di Semenyih, Selangor. Dia juga menikah di Singapura dan di Kota tinggi, Johor.

Apa yang Tok Aji ceritakan ialah pengalamannya semasa di Sumatera dari aruah ayahnya. Ketika ini seorang pelajar bertanya kepada ayah Tok Aji mengenai tingkah laku orang yang nazak, sama ada mereka yang tersenyum itu sudah ternampak ganjaran baik dari Allah.

Ayah Tok Aji menerangkan belum tentu orang yang nazak itu tersenyum kerana ternampak ganjaran dari Allah. Hanya Allah saja yang Maha Mengetahui. Boleh jadi orang yang tersenyum tatkala nazak itu sedang mendengar janji-janji iblis yang menunggu peluang, manakala orang yang masam mukanya itu sedang memarahi iblis yang cuba mengganggu.

"Kita tak tahu rahsia itu..." jelas Tok Aji semasa mengajar apabila saya sudah mula dewasa.

Tok Aji juga menceritakan tentang seorang yang terkenal sebagai ahli agama di Sumatera, yang mempunyai madrasah sendiri. Dia juga digelar orang ulama di kampung tersebut. Ulama ini mempunyai seorang anak yang mempunyai kelulusan dari Mesir.

Satu hari ulama itu pun meninggal dunia. Selang beberapa hari selepas kematiannya orang-orang kampung menjadi terkejut melihat seekor  harimau sedang wirid di atas masjid. Apabila dipandang dari belakang rupanya seakan-akan ulama yang baru meninggal dunia itu.

Tiap-tiap waktu Maghrib harimau berkenaan dilihat ada di tempat ulama itu selalu duduk. Disebabkan orang-orang kampung takut dengan kehadiran harimau tersebut, mereka pun memberitahu kejadian itu kepada anaknya. Setelah dilihat oleh anaknya, jelaslah kepada dia memang harimau itu adalah jelmaan dari ayahnya.

Alangkah anehnya seorang ulama apabila mati telah menjelma menjadi harimau. Sebagai orang yang berpelajaran tinggi dalam agama, si anak tadi terus datang kepada harimau yang sedang wirid itu.

Berkatalah si anak, "Ayah, apa boleh buat kehendak Allah begini. Kita tak boleh menolak iradatNya. Bagaimanapun janganlah ayah datang lagi ke sini, kerana orang-orang kampung takut dengan keadaan ayah sekarang”.

Mendengarkan kata-kata si anak itu maka harimau itu menangis. Air matanya mengalir dari pelupuk mata, dia hanya mengangguk-angguk seolah-olah faham akan kata-kata manusia. Kemudian dia dipimpin oleh si anak turun dari masjid lalu dibawa balik ke kuburnya. Dia ghaib sebaik saja sampai ke atas kubur.

"Rahsia demikian pun hanya Allah saja yang Maha Mengetahui..." Tok Aji menerangkan.

Memang seronok mendengar Tok Aji bercerita mengenai pengalamannya semasa menerangkan sesuatu kejadian yang dianggap aneh oleh orang. Kerana bagi Tok Aji tidak ada satu kejadian pun di muka bumi ini yang aneh, disebabkan semua itu adalah di dalam kudrat dan iradat Allah belaka.

Dalam masa Tok Aji bercerita mengenai pengalamannya inilah Dolah Moyok datang termengah-mengah mencari Tok Aji. Tergagap-gagap Dolah Moyok bila ditanya mengapa dia tercungap-cungap macam dikejar anjing gila. Lama Dolah Moyok jadi ayam berak kapur, barulah dia dapat bertenang.

"Mengapa kau ni, ada apa halnya?" Tok Aji geli hati dengan kelakuan Dolah Moyok termengah-mengah berlari mendapatkan dia di madrasah.

"Mak, minta Pak Aji datang ke rumah" jelas Dolah Moyok masih lagi tercungap-cungap menahan mengah.

"Apa halnya?" Tok Aji mendesak.

"Dia suruh Pak Aji datang aje..." beritahu Dolah Moyok tidak ketahuan.

Disebabkan Dolah Moyok tidak dapat menerangkan maka Tok Aji tidaklah bertanya lebih lanjut. Sebaliknya dia tersengih-sengih geli hati melihatkan telatah Dolah Moyok.

"Kau balik dulu, nanti Pak Aji datang" kata Tok Aji.

Dolah Moyok terus balik. Dia tidak peduli sama ada Tok Aji datang atau tidak. Dia pun tidak mahu menunggu Tok Aji.

Tetapi Tok Aji tahu Dolah Moyok itu bodoh-bodoh alang. Salahnya, Mak Munah sendiri yang mengharapkan anaknya itu. Sudah tahu Dolah Moyok bodoh-bodoh alang mengapa diserahkan pada dia membuat urusan. Bagaimana kalau Tok Aji menyangka urusan itu tidak penting, dan dia sengaja lambat datang?

Puas memikirkan mengapa Dolah Moyok datang tergesa-gesa, barulah Tok Aji mengambil keputusan mahu melihat segera masalah yang dihadapi oleh Mak Munah. Kalau tidak perkara mustahak tentulah Mak Munah tidak tergesa-gesa menyuruh Dolah Moyok menjemput.

Bagaimanapun Tok Aji mengajak nenek pergi bersama.

Ketika Tok Aji sampai di rumah Mak Munah keadaan di dalam rumah itu muram. Mak Munah menangis teresak-esak. Dolah Moyok duduk di sudut serambi terkebil-kebil mata. Dua tiga orang jiran sudah pun sampai terlebih dulu dari Tok Aji. Melihat keadaan itu Tok Aji menjadi bingung.

"Mengapa ni...?" tanya Tok Aji memerhatikan Mak Munah.

"Abang Aji dah lambat..." Mak Munah mengongoi hiba.

"Mengapa?" ulangi Tok Aji.

"Masuklah ke dalam" katanya dengan tidak menerangkan apa-apa.

Tok Aji tidak membantah. Dia terus masuk ke dalam mahu memastikan apakah yang menyebabkan Mak Munah muram. Apabila dia masuk ke dalam dilihatnya anak gadis Mak Munah terlentang tidak bergerak. Darah mengalir di mulut gadis itu. Nafasnya juga tidak berombak-ombak lagi seperti sewaktu Dolah Moyok berkejar mendapatkan Tok Aji.

"Milah, Abang Aji" jelas Mak Munah tersedu-sedu.

"Milah dah tak ada, dah tak ada"
Dia masih mengongoi menahan kesedihan yang menimpa ke atas anak gadisnya itu.

Milah baru berumur 16 tahun. Orangnya memang cantik, sebab itu di kampung dia dikenali dengan panggilan Milah Cantik. Kerana kecantikan Milah, ramai pemuda-pemuda yang terpikat kepadanya. Tetapi bukanlah senang mahu memikat Milah.

Milah masih boleh mengawal dirinya dari digoda. Apa lagi dia mendapat didikan agama dari madrasah Tok Aji. Bagaimanapun hanya beberapa bulan sebelumnya malapetaka menimpa diri Milah Cantik. Dia didapati mengandung enam bulan. Setelah perutnya membesar barulah berita dia mengandung itu pecah.

Mak Munah sudah pun menemui Tok Aji meminta doanya supaya kandungan itu digugurkan, tetapi Tok Aji enggan. Tok Aji nasihatkan supaya biarkan saja Milah Cantik lahirkan bayi dalam kandungan itu sampai selamat. Manakala Milah Cantik pula tidak mahu memberitahu siapakah yang melakukan sehingga dia mengandung.

"Kalau kita buang, sama juga macam membunuh" jelas Tok Aji pada Mak Munah.

"Apa nak dimalukan kepada manusia, sedangkan kepada Allah tidak malu ketika melakukannya" Tok Aji menasihatkan Mak Munah supaya bersabar.

Tetapi Mak Munah tidak dapat menahan sabar. Dia mahu menghalau saja Milah Cantik dari rumah kerana memberi malu kepada keluarga. Marah sangat dia dengan perbuatan anak gadisnya itu. Sia-sia dia menyuruh belajar agama di madrasah Tok Aji. Sia-sia pelajaran agama yang dididik oleh Tok Aji selama ini hingga sanggup mencemarkan nama baik keluarga dan kampung halaman sendiri.

"Jangan bertindak terburu-buru..." kata Tok Aji lagi mengingatkan Mak Munah.

"Boleh jadi bukan salah Milah. Boleh jadi dia diperkosa orang, sebab itu dia malu menerangkan siapa yang melakukannya" dia menyabarkan Mak Munah yang sudah mula hilang punca akibat malapetaka yang menimpa keluarganya itu.

Tidak pula disangka oleh Tok Aji tindakan Milah selanjutnya sampai demikian. Baru beberapa hari sebelum itu Tok Aji menasihatkan Milah Cantik supaya bersabar. Tok Aji sendiri meminta Milah Cantik menerangkan siapakah lelaki yang telah melakukan perbuatan terkutuk itu.

Milah Cantik menceritakan kepada Tok Aji dengan linangan air mata. Segala rahsianya dicurahkan kepada Tok Aji. Atas sebab-sebab inilah Tok Aji meminta dia bersabar, kerana pada pendapat Tok Aji kesalahan itu tidak seharusnya dibebankan kepada Milah Cantik. Sayangnya, Milah Cantik tidak dapat juga menerima nasihat Tok Aji. Dia membunuh diri dengan meminum racun tikus yang digunakan oleh Mak Munah untuk meracun tikus di sawah.

"Kalau saya cepat sampai pun, mungkin Milah tak dapat diselamatkan Munah" Tok Aji menasihatkan Mak Munah supaya bertenang.

"Ajalnya sudah ditentukan demikian, siapa pun tak dapat menyelamatkan..." keluh Tok Aji lalu menutup mayat Milah Cantik.

Bila mengenangkan cerita Milah Cantik terasa juga sebaknya dada Tok Aji. Tidak disangkanya gadis secantik Milah itu sanggup meminum racun tikus hanya disebabkan mengandung. Tetapi Tok Aji sudah menasihatkannya supaya bersabar, sayangnya Milah Cantik tidak dapat menahan kesabaran.

Sebagai gadis cantik, Milah Cantik selalu diusik oleh pemuda-pemuda yang ingin memikatnya. Kadangkala usikan itu sampai menyakitkan hati pula. Akibat dari usikan yang sudah melampaui batas itu, sekali sekala Milah Cantik terpaksa juga mengeluarkan kata-kata kesat. Inilah yang terjadi dengan seorang duda bernama Lajak Jongang apabila mengusik Milah Cantik.

Kalau mahu dikira tua Lajak Jongang tidaklah tua sangat baru berumur kira-kira 38 tahun. Tetapi tidaklah patut dia cuba memikat gadis baru berumur 16 tahun seperti Milah Cantik. Dia bercerai dengan isterinya disebabkan Lajak Jongang suka main daun terup berjudi. Kadangkala semalaman tidak balik ke rumah.

Setelah bercerai Lajak Jongang jadi miang tidak menentu. Pantang nampak dahi licin dia akan cuba memikat. Mahu dikira tampan tidaklah tampan Lajak Jongang ini. Kulitnya putih kuning, tetapi bertubuh kurus ceding. Giginya jongang sedikit dan mukanya banyak ditumbuhi jerawat.

"Hai Milah..." tegur Lajak Jongang ketika Milah Cantik singgah membeli biskut di kedai Mamak Kadir.

"Orang cantik bertambah cantik bila pakai kurung merah jambu" katanya mengusik.

Milah Cantik tidak menyahut. Dia mengerling masam. Menyampah sangat dia dengan Lajak Jongang. Tidak sedar diri sudah beranak lima, cuba nak memikat gadis seperti dia. Bukan sekali dua Lajak Jongang bersikap demikian. Sudah selalu sangat dia mengusik bila bertemu dengan Milah Cantik.

"Janganlah marah, takkan tak boleh nak bergurau sedikit" usik Lajak Jongang lagi.

Dua tiga orang pemuda ada tercongok di bangku panjang di kedai Mamak Kadir itu sedang menunggu kawan-kawan lain mahu bermain terup, tertawa berdekah-dekah mengejek Lajak Jongang cuba memikat Milah Cantik.

"Anak orang jangan diusik Abang Lajak" kata seorang pemuda.

"Nanti kena ludah baru padan jadi ubat jerawat..." ujarnya macam mahu menyakitkan hati Lajak Jongang.

Marah juga Lajak Jongang bila diungkit fasal mukanya yang penuh jerawat itu. Mahu saja dipeluknya Milah Cantik di situ untuk membuktikan pada anak-anak muda itu bahawa dia masih boleh memikat gadis cantik seperti Milah Cantik.

"Kalau aku nikah dengan Milah baru padan muka engkau orang" sahutnya kesal kerana diejek.

"Bagi can orang muda Abang Lajak" anak-anak muda yang bertenggong di bangku panjang terus mengejeknya.

"Abang Lajak dah tua, anak dah empat lima orang. Nak bersanding pun dah tak padan" siul mereka melangsing ikut sama mengusik Milah Cantik.

"Kau tengoklah nanti..." marah sangat Lajak Jongang dipersendakan oleh anak-anak muda.

"Kalau Lajak tak bersanding atas pelamin dengan Milah Cantik, jangan haraplah kau orang nak bersanding. Kempunanlah engkau orang semua" ujarnya menggertap bibir.

Anak-anak muda terus ketawa mengejek. Masakan Milah Cantik boleh terpikat dengan Lajak Jongang kaki main terup pakau. Rupa pun tidaklah boleh memikat. Sudahlah muka tirus, jerawat batu pula timbul dua tiga hingga muka jadi bokop. Lainlah macam P.Ramlee bintang filem terkemuka ketika itu. Walaupun badan kurus ceding, muka bokop berjerawat, P.Ramlee boleh menyanyi, berlakon dan terkenal. Siapa yang tidak tergila-gilakan bintang filem masa itu.

Tetapi Lajak Jongang orang kampung menoreh getah. Asyik pula menghabiskan masa di belakang kedai kopi Mamak Kadir bermain terup pakau. Ada isteri pun lari meninggalkan dia. Macam mana pula ada keinginan memikat Milah Cantik gadis comel baru berumur 16 tahun itu.

"Jangan pungguk rindukan bulan Abang Lajak..." ketawa budak-budak semakin meninggi.

Terasa pada Lajak Jongang dia benar-benar dipandang seperti lelaki tidak berharga di sisi wanita. Mentang-mentanglah isterinya lari menuntut cerai, tidak bererti dia tidak dihargai oleh isterinya.

Malu benar-benar dihina oleh anak-anak muda itu di depan Milah Cantik. Dia terus merapati Milah Cantik tersengih-sengih.

"Milah..." dia tersenyum menegur Milah Cantik.

"Ah, sudah..." bentak Milah Cantik mencapai biskut yang dibelinya dari kedai Mamak Kadir.

"Tak padan dah tua nak jadi ulat bulu. Kalau miang sangat mengapa biarkan Kak Dah lari dari rumah" kata Milah Cantik marah. Tersinggung sangat dia dengan sikap Lajak Jongang tidak sedar diri itu.

"Hei, Milah..." panggil Lajak Jongang serba salah.

Tetapi Milah Cantik sudah pun berlari keluar dari kedai Mamak Kadir.

Anak-anak muda di bangku panjang terus ketawa mengejek. Tebal rasanya muka Lajak Jongang mendengar kata-kata Milah Cantik tadi. Perkara Midah lari meninggalkan dia tidak wajar diungkit oleh anak gadis seperti Milah Cantik. Mungkin Midah melarikan diri disebabkan selalu meleteri dia, menyebabkan dia cepat naik angin.

Dia benar-benar merasa terhina bila seorang gadis mentah berani mempertikaikan keruntuhan rumahtangganya. Lajak Jongang terus meninggalkan kedai Mamak Kadir dalam ejekan anak-anak muda yang ketawa berdekah-dekah.

Semalaman Lajak Jongang tidak dapat melelapkan mata. Malu benar dia mendengar kata-kata Milah Cantik di depan anak-anak muda yang suka mengejek. Kalau Milah Cantik tidak sudi menyahut pun janganlah ungkit fasal kegagalan rumahtangganya dengan Midah.

Esoknya pagi-pagi lagi Lajak Jongang menemui Tok Batin di hulu kampung. Hampir sebulan dia berulang alik menemui Tok Batin sehingga dia tidak pernah lagi menjenguk muka di kedai Mamak Kadir. Kuranglah kaki main terup pakau dengan ketiadaan Lajak Jongang.

Tup-tup satu hari terjongol saja muka Lajak Jongang di kedai Mamak Kadir. Apabila dipelawa main terup, dia terus saja tumpang sekali. Semasa bermain ini anak-anak muda juga mengusiknya. Mereka mengatakan Lajak Jongang merajuk kerana Milah Cantik tidak mahu melayan.

"Merajuk, siapa nak pujuk Abang Lajak!" Johar menyinggung bahunya sambil tersengih-sengih.

"Takkan Milah Cantik nak datang pujuk" celah Leman pula.

Mereka ketawa terkekeh-kekeh untuk menyakitkan hati Lajak Jongang. Tetapi Lajak Jongang tidak marah.

Dia hanya tersenyum saja, walaupun mukanya merah padam menahan marah.

"Nanti Abang Lajak gigit jari..." cepat-cepat Kahar menyampuk.

"Milah Cantik selalu jeling-jeling Johar nampaknya sekarang ni" ujarnya disambut ketawa berderai.

Dalam masa mereka mengusik-ngusik Lajak Jongang itu, Milah Cantik datang ke kedai Mamak Kadir. Apabila mereka tahu Milah Cantik datang cepat-cepat Johar menguis bahu Lajak Jongang. Tetapi dia tidak ambil peduli langsung anak-anak muda itu mengusiknya.

Sebaik sampai saja di kedai Mamak Kadir, terus saja Milah Cantik menjengah ke belakang kedai memerhati orang bermain terup. Tidak pernah selama ini dia menjengah ke situ. Selepas terpandang Lajak Jongang bermain terup dia tersenyum mengerling ke arah lelaki duda tersebut.

Lajak Jongang pura-pura tidak nampak Milah Cantik memerhatikan dia. Anak-anak muda yang mengejek juga terdiam dengan perubahan Milah Cantik mengerling dan tersenyum merenung Lajak Jongang itu. Mereka melihatnya seperti dalam mimpi saja, bagaimanakah Milah Cantik boleh tersenyum merenung Lajak Jongang.

Sejak dari hari itulah Milah Cantik sentiasa teringatkan Lajak Jongang. Tidur pun sentiasa termimpi-mimpikan Lajak Jongang datang. Dia merasa gembira apabila dibelai Lajak Jongang. Setiap malam seperti ada saja orang memandunya datang menemui Lajak Jongang di rumah lelaki duda bermuka bokop itu.

"Rumah abang buruk..." bisik Lajak Jongang merangkul tubuh gadis itu.

"Milah bukan mahu rumahnya" sahut Milah merebahkan kepala ke lengan Lajak Jongang.

"Habis, Milah mahu apa?"

Lajak Jongang memain-mainkan anak rambut Milah Cantik. Setiap sentuhan jari Lajak Jongang tetap mendebarkan dia. Milah Cantik merasakan dunianya hanya untuk Lajak Jongang saja. Dia tidak mahu berenggang walau sesaat pun dari Lajak Jongang.

"Milah mahu apa?" ulangi Lajak Jongang perlahan.

"Milah mahu abang..." sahut gadis itu mengusap-ngusap pipi lelaki duda tersebut.
"Abang tak lawa!"

"Ah, Milah pun bukannya cantik sangat"

"Tapi, Milah memang cantik"

"Abang pun apa kurangnya...!"

"Abang dah tua, duda pula..."

"Tapi Milah, sayangkan abang".

Akhirnya Milah menyerahkan segala-galanya pada Lajak Jongang. Dapatlah Lajak Jongang membalas dendam, setelah Milah Cantik menghina dia ketika di kedai Mamak Kadir. Selama berulang alik berjumpa Tok Batin itulah dia telah memuja Milah Cantik.

Selepas puas melepaskan hawa nafsunya terhadap gadis mentah itu, Lajak Jongang pun memulihkan semula semangat Milah Cantik. Sejak itu Milah Cantik kembali sedar apa yang berlaku. Dia bagaikan mahu menjerit bila menyedari bahawa kehormatannya sudah dinoda oleh lelaki yang dibencinya selama ini.

Apabila dia menyedari dirinya mengandung, Milah Cantik sengaja mendiamkan diri. Dia bimbang kalau dia menerangkan kedudukan sebenarnya tentulah emaknya memaksa dia bernikah dengan Lajak Jongang, sedangkan hatinya tidak terbuka pun mahu menerima Lajak Jongang.

Hinggalah saat Milah Cantik menutup mata dengan meminum racun tikus, tidak siapa pun mengetahui rahsianya. Kecuali Tok Aji satu-satunya yang mengetahui tentang Lajak Jongang. Tok Aji jugalah yang tahu tentang perbuatan Lajak Jongang memuja semangat Milah Cantik supaya menyerah kepadanya.

Ketika hayatnya Milah Cantik disuruh oleh Tok Aji melakukan solat sunat Tahajud setiap malam, supaya dirinya dilindungkan dari sebarang bencana malu. Biarlah masyarakat dapat menerima hakikat sebenarnya bahawa dirinya telah diperalatkan oleh syaitan yang bertopengkan manusia.

Sama ada dia melakukannya atau tidak, Tok Aji sendiri tidak tahu. Tetapi menurut cerita Mak Munah memang setiap malam Milah Cantik bangun tengah malam menunaikan solat sunat. Apakah doanya tidaklah diketahui oleh Mak Munah.

Tetapi, mengapa pula dia tergamak meminum racun kalau sentiasa mengerjakan solat?

Disebabkan dia mati ketika mengandung orang-orang kampung menasihatkan Mak Munah supaya mengkebumikan Milah Cantik mengikut kepercayaan mereka iaitu membubuh jarum di tapak tangan, telur di bawah ketiak dan emas di dalam mulutnya. Kononnya, kalau tidak dilakukan begitu dia akan bertukar menjadi langsuyar.

Walaupun Tok Aji tidak bersetuju dengan kepercayaan tersebut, tetapi dia tidaklah membantah. Dia tidak mahu masyarakat akan membuat anggapan buruk pula kalau ditegur kepercayaan mereka. Akibatnya boleh mendatangkan perpecahan di kalangan masyarakat apabila berbantah-bantah.

Dalam masa orang ramai sedang membuat persiapan untuk memandikan, tiba-tiba suasana menjadi gempar bila Lajak Jongang datang menangis-nangis menyembah kaki Mak Munah. Dia mengaku di depan Mak Munah melakukan perbuatan terkutuk itu menyebabkan Milah Cantik mengandung. Dia sendiri tidak menyangka Milah Cantik tergamak membunuh diri. Malah kalau Milah Cantik sudi dia sanggup mengambilnya menjadi isteri.

Akhirnya Lajak Jongang terpaksa menceritakan semua yang dilakukannya terhadap Milah Cantik. Orang-orang kampung mendengar pengakuan itu dengan rasa benci, kerana selama ini mereka menuduh tentulah kalau tidak bertepuk sebelah tangan masakan berbunyi. Dengan pengakuan Lajak Jongang itu barulah mereka sedari bahawa Milah Cantik hanya teraniaya selama ini.

Serentak dengan itu Mak Munah sudah mencapai parang mahu menerkam Lajak Jongang. Terpaksalah orang ramai mententeramkan keadaan.

"Yang mati, dah tentulah mati...!"

Ketua Kampung mengingatkan Mak Munah.

"Jangan yang hidup pula, tak ada beban batu digalas. Cukuplah Munah, jangan ikutkan sangat perasaan kau" nasihat Ketua Kampung.

"Binatang ni salah, binatang ni salah!" Mak Munah menangis teresak-esak sambil meronta mahu melepaskan diri dari pegangan orang ramai.

Lajak Jongang tidak berganjak menunggu serangan Mak Munah. Dia seolah-olah menyerahkan diri saja tidak bertindak melarikan diri pun.

"Munah...!' Tok Aji pula bersuara.

"Pengakuan Lajak di hadapan orang ramai ini satu rahmat besar dari Allah. Sepatutnya kau bersyukur, kerana Allah telah menunjukkan kepada hambaNya bahawa anak kau tidak berdosa. Dia dianiaya" jelas Tok Aji meminta Mak Munah bertenang.

Semakin lemah Mak Munah dipegang ramai-ramai. Dia tidak berdaya lagi mahu meronta. Kalau ikutkan perasaannya memang dia tidak benarkan Lajak Jongang menjejakkan kaki ke rumahnya. Tetapi Lajak Jongang sedikit pun tidak mengangkat muka walau dimaki macam mana pun.

"Sabarlah Munah" pujuk Tok Aji lagi.

Mak Munah dipapah ke dapur untuk meredakan suasana kerana Lajak Jongang tetap melutut di sisi jenazah. Dia tidak mahu berundur walaupun orang ramai menasihatkan dia supaya meninggalkan rumah tersebut buat sementara waktu. Bila keadaan sudah pulih barulah diselesaikan perkara itu dengan Mak Munah.

Ketika jenazah hendak dimandikan orang menjadi bingung kerana mereka tidak terangkat jenazah untuk ditatang ke tempat dimandikan. Hingga tujuh lapan orang lelaki mencuba mengangkatnya, tetapi jenazah tidak bergerak sedikit pun.

Puas mencubanya, maka mereka pun mengadukan hal itu kepada Ketua Kampung.

"Macam mana Pak Aji...?" tanya Ketua Kampung dalam kebingungan.

"Tak pernah pula saya menemui kejadian macam ni seumur hidup saya" katanya keheranan mendengar penerangan dari orang-orang yang mahu memandikan jenazah.

"Lajak..." Tok Aji memanggil Lajak Jongang.

"Boleh jadi dia meminta pertolongan kau" ujarnya menyuruh Lajak Jongang mengangkat jenazah itu ke tempat hendak dimandikan.

Mudah saja Lajak Jongang menatang jenazah itu seorang diri. Heran juga orang yang mengangkat mua-mula tadi, kerana mereka telah mencubanya beramai-ramai tetapi tidak berjaya. Bagaimana dengan Lajak Jongang hanya seorang diri saja boleh mengangkat jenazah tersebut.


Mereka mula menuduh Lajak Jongang masih menggunakan ilmu Tok Batin, sebab dia sendiri mahu mengangkat jenazah Milah Cantik. Memang Lajak Jongang yang menyebabkan mayat menjadi berat. Bagaimanapun Tok Aji menasihatkan mereka supaya tidak menuduh sesuka hati.

"Serahkan kepada Allah, hanya Allah Yang Maha Mengetahui..." Tok Aji mengingatkan mereka.

Tetapi mereka tidak puas hati dengan alasan Tok Aji. Saudara mara Mak Munah juga menyimpan dendam pada Lajak Jongang. Kalaulah tidak mengenangkan Tok Aji dengan Ketua Kampung memang mereka mahu menghalau Lajak Jongang dari situ. Kedatangan Lajak Jongang semata-mata untuk menimbulkan keributan saja.

"Entah apa tangkal yang dipakainya, fasal itu jenazah jadi berat" rungut salah seorang dari mereka.

Tok Aji tidak peduli sangat dengan rungutan demikian. Dia hanya memberi nasihat, kalau orang tidak mahu mendengar nasihatnya dia tidak ambil peduli sangat. Terpulanglah pada orang itu sama ada mahu menerima nasihatnya atau tidak.

Setelah selesai dimandikan dengan sempurna maka dikapankan oranglah jenazah Milah Cantik. Terpaksalah Lajak Jongang mengangkat jenazah itu untuk dikapankan dan kemudiannya diletakkan di depan Tok Aji untuk disembahyangkan. Setelah selesai disembahyangkan dimasukkan ke dalam usungan. Lajak Jongang juga terpaksa membawanya ke dalam usungan.

Ketika usungan hendak dibawa ke kubur sekali lagi tidak dapat dilakukan. Usungan tidak bergerak langsung dan mereka yang memikul usungan terasa jenazah itu terlalu berat. Mahu tidak mahu dipanggil juga Lajak Jongang memikul usungan.

Barulah orang-orang yang merungut tadi sedar akan kata-kata Tok Aji hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Kalau semasa memandikan jenazah bolehlah mereka menuduh Lajak Jongang menggunakan tangkal azimat supaya jenazah menjadi berat, bagi membolehkan dia memeluk jenazah untuk melepaskan geramnya kepada gadis kesayangannya. Tetapi bagaimana pula dengan usungan?

Sepanjang jalan kira-kira setengah batu menuju ke tanah perkuburan Lajak Jongang tidak dapat bergilir-gilir seperti orang lain memikul usungan jenazah. Kalau Lajak Jongang menukarkan kepada orang lain maka usungan itu tidak dapat dibawa bergerak ke depan.

Masing-masing merasa terlalu berat. Mereka tidak dapat melangkah langsung. Mahu tidak mahu terpaksa juga Lajak Jongang memikulnya dengan tidak dapat bergilir-gilir. Lajak Jongang tidak membantah. Dia terpaksa melakukan kerana dia merasa berdosa menyebabkan Milah Cantik jadi demikian.

Untuk menebus dosanya, dia sanggup melakukan apa saja di hari pengebumian Milah Cantik. Orang ramai yang melihat Lajak Jongang berpeluh-peluh memikul usungan itu mula merasa simpati terhadapnya. Tetapi mereka tidak dapat menolong. Walaupun ada orang yang mahu menggilirkan dia memikul usungan, tiba-tiba saja usungan tidak bergerak. Kaki mereka tidak dapat melangkah kerana menahan beban yang terlalu berat.

"Sabarlah, Lajak" bisik Tok Aji yang berjalan berhampiran dengannya.

Lajak Jongang hanya mengangguk. Dia teringat juga akan masa manisnya bersama Milah Cantik, sekalipun melalui guna-guna yang dipuja oleh Tok Batin. Memanglah Milah Cantik bukan dengan rela hati menyerahkan tubuhnya kepada dia, namun kenikmatan itu tetap tidak dapat diluputkan dari jiwanya.

"Ingatlah, Allah Maha Pengampun..." Tok Aji memberi nasihat kepadanya kerana kasihan melihat Lajak Jongang tersenget-senget bahu memikul usungan jenazah.

Lajak Jongang tidak menyahut. Dia mengangguk lemah. Air matanya berlinang di pelupuk mata menyesali perbuatannya terhadap gadis mentah yang tidak berdosa itu.

Apabila sampai di kubur, sekali lagi menjadi kecoh kerana jenazah tidak dapat diturunkan ke liang lahad. Mereka semua tidak terdaya mahu mengangkat jenazah. Disebabkan mereka sudah tahu masalahnya, maka disuruh saja Lajak Jongang masuk ke dalam kubur menyambut jenazah.

Lajak Jonganglah menyambutnya, dan dia jugalah yang memasukkan jenazah ke liang lahad. Sebaik saja orang mengambuskan tanah, tiba-tiba Lajak Jongang tidak dapat mengangkat kakinya. Dia meronta-ronta mahu melepaskan kakinya yang terlekat di tanah.

"Tanah ni lekit..." katanya sambil menghulurkan tangan minta ditarik ke atas. Sebaik saja mahu ditarik ke atas kakinya semakin tenggelam. Terpaksalah berhenti orang menariknya. Asal saja cuba ditarik maka kakinya akan bertambah tenggelam. Puas Lajak Jongang meronta mahu melepaskan diri, tetapi tidak juga berjaya.

Selagi Lajak Jongang tidak ditarik naik ke atas maka kubur tersebut tidak dapat dikambus. Memang keadaan semakin terdesak. Tok Aji pun menyuruh Lajak Jongang berastaghfar. Masing-masing bertambah bingung dengan kejadian yang berlaku tidak semena-mena itu.

"Cuba kau melompat Lajak..." ujar Mak Munah yang mula kasihan melihat Lajak Jongang bersusah payah mengkebumikan anaknya.

Lajak Jongang cuba melompat tetapi tidak boleh bergerak. "Kaki saya panas" katanya mendongak ke atas terkebil-kebil mata. Suaranya gementar dalam ketakutan.

Tok Aji mengadap kiblat terus azan dengan lantang suaranya. Selepas azan Tok Aji merenung ke liang lahad, lalu dia masuk ke lubang kubur. Tok Aji membongkok bagaikan bercakap-cakap dengan jenazah Milah Cantik. Kemudian dia berdiri semula sambil berkata dengan tenang,

"Milah, pergilah kau saja. Tinggalkan Lajak di sini, biarlah urusan Allah diserahkan kepada Allah".

Setelah itu Tok Aji memberi isyarat supaya Lajak Jongang ditarik ke atas. Barulah Lajak Jongang dapat ditarik. Selepas itu disempurnakanlah pengkebumian Milah Cantik. Bagaimanapun Lajak Jongang tidak lama kemudiannya jadi gila. Seluruh badannya dipenuhi tokak. Kira-kira dua tahun dia menanggung pernderitaan itu, Lajak Jongang pun meninggal dunia.




No comments:

Post a Comment